SELAMAT DATANG


Pada 4 November 2024, Pengurusan Tertinggi Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Profesor Madya Dr. Sabzali Musa Kahn, Dekan APM telah menyertai Program Prime Network Week yang dianjurkan oleh Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS). Dalam program tersebut telah diusulkan penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFS-UM oleh Profesor Dr. Liu Zhiqiang, Dekan Fakulti Asia Tenggara, GDUFS.

APM telah menerima usul penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFS-UM tersebut dengan prinsip bahawa pusat ini akan menjadi hab pertama rujukan berkaitan Pengajian Melayu di luar negara. Penubuhan ini merupakan manifestasi kerjasama UM dengan GDUFS. Secara langsung ini memperkukuh hubungan Malaysia-China yang telah bermula sejak tahun 1974.

Bagi merealisasikan usul tersebut, Persidangan Pengajian Melayu Malaysia-China (PPMMC) dianjurkan bersekali dengan perasmian penubuhan Pusat Pengajian Melayu GDUFS-UM. Selari dengan fungsi sebagai hab Pengajian Melayu, persidangan yang julung kali diadakan ini bertemakan Globalisasi Pengajian Melayu: Cabaran dan Masa Depan. Tema ini dipilih bersesuaian dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh Pengajian Melayu dalam memastikan ia kekal relevan dengan perubahan semasa.

Pengajian Melayu tidak lagi terbatas hanya pada peringkat serantau tetapi telah berkembang ke peringkat global, khususnya di negara China pada hari ini. Sebagai salah sebuah negara besar dan berkuasa di Asia Timur, pemilihan GDUFS sebagai tuan rumah persidangan menepati kepentingan akademik, kerjasama serantau dan negara.