Alam  Melayu merupakan satu benua yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Alam Melayu disebutkan juga dengan istilah ‘Nusantara’ adalah tidak asing lagi apabila didiami oleh masyarakat dari berbilang agama, bangsa, adat istiadat dan kebudayaan yang telah mempengaruhi kehidupan dalam masyarakat. Pengaruh Islam adalah antara yang dominan di alam Melayu apabila hampir keseluruhan masyarakat Melayu beragama Islam sehingga Islam dan Melayu itu meresap dalam jiwa orang Melayu dan mempengaruhi segala cara hidup dan kebudayaannya. Rentetan itu, kajian terhadap Alam Melayu atau disebutkan Nusantara telah mendapat tempat dalam kalangan penyelidik sama ada dari dalam Nusantara sendiri ataupun daripada pihak luar.

Situasi penularan virus COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia pada dua tahun lepas iaitu antara tahun 2020 hingga awal tahun 2022, telah memberi kesan yang mendalam dari semua sudut kehidupan manusia sama melibatkan kesan terhadap perubahan sosial, perubahan aspek pelaksanaan ibadah, interaksi dan transaksi ekonomi sehingga kepada kesan yang buruk seperti tekanan perasaan, peningkatan kes bunuh diri, keruntuhan institusi keluarga dan sebagainya lagi.

Menyedari kepentingan dunia penyelidikan khususnya yang melibatkan agenda masyarakat Nusantara ini, pihak Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur mengorak langkah untuk menganjurkan Seminar ICON-IMAD XII 2023 yang bertemakanTradisi Islam Melayu Mendepani Krisis Kemanusiaan Serantau (Islam-MalayTradition Facing the Regional Humanitarian Crisis)” dengan anjuran bersama dari Pasca Sarjana UIN Sunan Gunung Djati, Bandung, Indonesia; Kolej Pengajian Islam, Prince of Songkla University, Thailand, dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam.

Dalam membincangkan krisis kemanusiaan serantau ini, amat penting untuk dilihat dari pelbagai sudut dan aspek khususnya dari sudut penyelidikan. Ini kerana dengan berpaksikan penyelidikan secara langsung atau tidak langsung setiap aspek akan diteliti oleh para pengkaji mengikut bidang dan kepakaran masing-masing penyelidik. Jadi, hasil daripada penyelidikan yang dilakukan tersebut akan dapat menjana idea, kerangka, modul, model atau apa-apa yang munasabah yang dapat dijadikan sebagai panduan serta diaplikasikan dalam menghadapi dan mendepani krisis kemanusiaan tersebut tersebut. Justeru, penganjuran ICON-IMAD XII 2023 dilihat amat tepat untuk merealisasikan satu perbincangan daripada kalangan penyelidik, agensi atau mana-mana individu secara langsung atau tidak dalam membincangkan krisis kemanusiaan yang dihadapi dalam dunia pada hari ini. Khususnya dalam kalangan kerjasama serantau Alam Melayu ini di mana masing-masing mempunyai aspek penting yang boleh diangkat dan dibentangkan bagi mencari penyelesaian bersama. Bahkan, wakil-wakil daripada setiap negara juga boleh mengetengahkan cadangan dan pengamalan di setiap negara melalui institusi masing-masing agar dapat dikongsi bersama untuk manfaat semua pihak.

Oleh sebab itu, diharapkan kerjasama yang telah lama dijalinkan ini boleh menjadi salah satu medium yang penting bagi semua pihak berbincang, mencambahkan idea, bertukar-tukar fikiran serta bersama-sama menetapkan satu hala tuju penyelesaian krisis kemanusiaan sama ada dalam konteks menghadapinya atau sebagai satu persediaan bagi mengelak daripada krisis yang lebih parah.

 

Justeru, persidangan kali ini adalah merupakan usaha daripada penganjuran sebelum ini rentetan daripada kejayaan ICON-IMAD I yang diadakan di Bandung pada 19-22 November 2011, ICON-IMAD II yang diadakan di APIUM pada 2012, ICON-IMAD III yang diadakan di Bandung pada 2013, dan ICON-IMAD IV yang diadakan di Klana Beach Resort Port Dickson (Kompleks Baitul Hilal), Negeri Sembilan, Malaysia pada 19-21 September 2014; ICON-IMAD V yang diadakan di Prince of Songkla University, Pattani, Thailand pada 12-14 September 2015; ICON-IMAD VI yang diadakan di Universiti Islam Sultan Sharif Ali, UNISSA, Brunei pada 20-22 September 2016 dan terakhir ICON-IMAD VII diadakan di Sumber Alam Resort, Garut pada 18-21 September 2017, kemudian ICON-IMAD VIII pada 2-4 September 2018 bertempat di Langkawi, Kedah Darul Aman, Malaysia, ICON-IMAD IX pada 9 dan 21 Ogos 2019 yang diadakan di Krabi Front Bay Resort, Krabi, Thailand, ICON-IMAD X pada 2-3 Jun 2021 bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa  (ICC), Berakas, Brunei yang diadakan secara dalam talian (online) disebabkan oleh kekangan pergerakan kerana penularan Covid-19 dan terakhir adalah ICON-IMAD XI pada 26-27 Oktober 2022 bertempat di Grand Asrilia Hotel, Bandung, Indonesia.