Alam Melayu merupakan kawasan yang agak luas dan mempunyai sejarah yang agak panjang. Walaupun masyarakat awalnya mempunyai kelompok tersendiri, namun disebabkan interaksi dengan dunia luar melalui hubungan politik, ekonomi dan sosial, maka pengaruh eksternal telah membentuk keberagaman nilai, pemikiran dan perilaku sehingga melahirkan sejarah, identiti dan warisan budaya sesuatu bangsa. Walaupun kuasa-kuasa luar seperti Portugis, Belanda dan Jepun pernah berada dalam perjalanan sejarah rantau ini suatu ketika dahulu, namun warisan budaya Alam Melayu masih dapat dikekalkan sehingga ke hari ini. Namun tidak dinafikan sebahagian warisan budaya ini telah berasimilasi dengan pengaruh tertentu berikutan kehadiran kuasa luar di sesuatu kawasan tertentu.
Secara umumnya warisan budaya boleh dikategorikan kepada warisan budaya ketara (tangible cultural heritage) dan warisan budaya tidak ketara (intangible cultural heritage). Kedua-dua begitu banyak di Malaysia dan kebanyakannya masih wujud sehingga ke hari ini. Sekiranya tidak diberi perhatian sewajarnya, maka tidak mustahil semua warisan budaya ini akan luput ditelan zaman pada suatu hari kelak. Walaupun dunia hari ini dilingkungi dengan teknologi maklumat yang begitu pesat, namun warisan budaya tidak harus terpinggir malah boleh dipromosi dan disebarluaskan sejajar dengan perkembangan dunia digital masa kini. Oleh itu, pelbagai aspek warisan budaya Alam Melayu yang dipacu menerusi landskap sejarah harus diketengahkan oleh para sarjana di Malaysia pada masa kini memandangkan ia mampu menjadi indikator utama kepada sebarang perancangan negara pada masa hadapan.